Mencari pekerjaan merupakan salah satu proses yang memerlukan ketekunan dan persiapan yang rapi. Salah satu langkah penting dalam proses ini adalah menyediakan resume terbaik yang mampu menyerlahkan kelebihan diri anda dan menarik perhatian majikan.
Persoalannya adalah, bagaimana caranya untuk menghasilkan resume yang menarik perhatian majikan? Dalam artikel ini, kami akan berkongsi tips, contoh resume, dan panduan menyeluruh untuk membantu anda mencipta resume yang dapat membantu anda untuk mendapatkan pekerjaan atau jawatan impian anda.
Apa Itu Resume dan Kepentingannya?
Resume merupakan dokumen ringkas yang memaparkan maklumat peribadi, pengalaman kerja, kemahiran, latar belakang pendidikan dan pencapaian seseorang. Ia penting untuk memberikan gambaran awal kepada majikan sesebuah syarikat tentang kelayakan serta kebolehan anda. Oleh itu, di dalam dunia pekerjaan yang mempunyai persaingan yang tinggi ini, mempunyai resume yang baik adalah salah satu perkara yang perlu diambil serius.
Resume berfungsi sebagai alat pemasaran diri. Ia memberitahu majikan mengapa anda merupakan calon terbaik untuk kerja yang ditawarkan. Oleh itu, anda perlu memahami cara menyusun resume yang menarik dan sesuai dengan jawatan yang dimohon.
Struktur Asas Resume
Resume yang baik perlu mempunyai struktur yang teratur, ringkas, dan padat. Di bawah ini merupakan komponen utama dalam contoh resume terbaik:
1. Maklumat Peribadi
Dalam resume, anda perlu menyertakan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat tempat tinggal, nombor telefon, dan alamat email. Pastikan semua maklumat yang anda masukkan adalah benar dan terkini bagi memudahkan majikan untuk menghubungi anda.
Contoh:
- Nama: Siti Munira Binti Ismail
- Alamat: No. 5, Jalan Merbuk, 50450 Kuala Lumpur
- Telefon: +6012-333 4444
- Email: sitimuniraismail@gmail.com
2. Objektif Kerjaya
Bahagian objektif kerjaya dalam resume adalah ruang untuk anda menyatakan matlamat kerjaya anda dengan ringkas tetapi memberi kesan di mata majikan. Ia bertujuan untuk menunjukkan kepada majikan apa yang anda harapkan dari kerjaya anda serta bagaimana anda boleh menyumbang kepada organisasi mereka. Bahagian ini biasanya diletakkan di bahagian atas resume, selepas maklumat peribadi.
Berikut merupakan beberapa contoh objektif kerjaya untuk resume anda:
Untuk Pemohon Berpengalaman
“Untuk menyumbangkan pengalaman saya selama 5 tahun dalam pengurusan projek dan kepakaran dalam perisian Microsoft Office bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan organisasi.”
Objektif di atas menyatakan pengalaman kerja yang spesifik (5 tahun dalam pengurusan projek) dan kemahiran yang boleh menyumbang kepada organisasi atau syarikat (Microsoft Office). Objektif ini menunjukkan nilai yang jelas kepada majikan.
Untuk Pemohon Tanpa Pengalaman Kerja (Fresh Graduate)
“Untuk memulakan kerjaya saya dalam bidang kejuruteraan awam dengan memanfaatkan pengetahuan teknikal dan kemahiran AutoCAD untuk menyumbang kepada kejayaan projek syarikat.”
Objektif ini pula menonjolkan matlamat pemohon (memulakan kerjaya dalam kejuruteraan) dan kemahiran yang jelas (AutoCAD). Ia menunjukkan fokus yang jelas walaupun tanpa pengalaman kerja.
3. Pendidikan
Sila nyatakan kelayakan akademik anda secara berperingkat ke dalam resume bermula daripada yang terkini. Jangan lupa untuk menyatakan keputusan SPM atau kelayakan lain yang berkaitan.
Contoh:
- Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Universiti Malaya, 2020
- Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 2017
- SPM, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, 2015
4. Pengalaman Kerja
Pengalaman bekerja merupakan antara bahagian yang paling penting di dalam resume. Oleh itu, untuk menghasilkan resume yang baik dan menyakinkan, anda perlu menyatakan pengaman kerja seperti jawatan, nama syarikat, lokasi, serta tempoh bekerja. Jika anda belum ada pengalaman kerja, anda boleh sertakan latihan industri atau projek akademik.
Contoh:
- Jawatan: Jurutera Projek
- Syarikat: ABC Engineering Sdn Bhd
- Tempoh: Januari 2021 – Kini
- Tugas:
- Merancang dan melaksanakan projek pembinaan.
- Menyediakan laporan kemajuan projek untuk majikan.
5. Kemahiran
Biasanya, kemahiran merupakan aspek yang majikan cari dalam resume. Oleh itu, sila sertakan kemahiran yang berkaitan dengan jenis kerja yang anda mohon, seperti penggunaan microsoft office, perisian teknikal, atau kemahiran bertutur dalam bahasa asing.
Contoh:
- Microsoft Office: Word, Excel, PowerPoint
- Perisian Kejuruteraan: AutoCAD, SolidWorks
- Bahasa: Bahasa Melayu (Cemerlang), Bahasa Inggeris (Cemerlang), Bahasa Jepun (Asas)
6. Pencapaian
Jangan lupa untuk menyertakan pencapaian akademik atau profesional anda. Ini boleh memberikan kelebihan tambahan kepada anda di mata majikan dan penemuduga.
Contoh:
- Anugerah perkhidmatan cemerlang, ABC Engineering Sdn Bhd, 2024
- Anugerah Pelajar Cemerlang Universiti Malaya, 2020
- Juara Pertandingan Inovasi Kejuruteraan, 2019
7. Rujukan
Ramai pemohon kerja sering mengabaikan bahagian rujukan kerana menganggap ia bukan bahagian wajib atau penting untuk dimasukkan ke dalam resume. Namun begitu, bahagian ini sebenarnya sangat penting, terutamanya jika anda memohon kerja di syarikat besar.
Oleh itu, untuk mendapatkan resume yang baik, sila sertakan nama dan butiran sekurang-kurangnya dua individu sebagai rujukan. Pilihlah orang yang mengenali anda dari segi profesional seperti pensyarah atau bekas majikan.
Contoh:
- Nama: Dr. Siti Hajar
- Jawatan: Pengurus, ABC Engineering Sdn Bhd
- Telefon: +6012 – 333 4444.
- Nama: Encik Zulkifli
Tips Menyediakan Resume Terbaik
1. Gunakan Template Profesional
Untuk mencipta resume yang terbaik, anda menggunakan template yang mudah dibaca dan tersusun. Terdapat banyak pilihan template yang boleh dimuat turun secara percuma dari page seperti Canva atau Microsoft Word.
Anda juga boleh membeli template resume premium daripada penyedia resume terbaik di Malaysia seperti mudahtemplates.com.my. Sila pastikan rekaan resume anda tidak terlalu rumit dan sesuai untuk bidang pekerjaan yang dipohon.
2. Sertakan Gambar Profesional
Sila sertakan gambar diri yang kelihatan profesional. Elak menggunakan gambar santai atau swafoto. Selain itu, pastikan suntingan pada gambar dilakukan secara sederhana agar kelihatan natural dan tidak terlalu berbeza dengan penampilan sebenar anda.
3. Tulis Resume Anda Dengan Ringkas
Resume yang ringkas tetapi lengkap adalah kunci untuk menarik perhatian majikan dengan mudah. Majikan biasanya menerima banyak permohonan, jadi mereka cenderung meneliti resume secara sepintas lalu pada peringkat awal.
Oleh itu, pastikan resume anda ditulis dengan padat, jelas, dan terus kepada perkara penting. Hindari menulis maklumat yang berulang-ulang atau tidak penting dengan jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, jika anda sudah menyatakan satu kemahiran di bahagian Kemahiran, tidak perlu mengulanginya di bahagian lain seperti Pengalaman Kerja. Resume yang terlalu panjang juga boleh membuatkan majikan hilang minat sebelum selesai membacanya.
4. Maklumat Terkini
Maklumat peribadi seperti nombor telefon dan alamat email adalah aspek penting yang mesti diperiksa dengan teliti. Jika maklumat ini tidak dikemas kini atau salah, majikan mungkin gagal menghubungi anda walaupun mereka berminat untuk menawarkan peluang temuduga.
Selain itu, pastikan format email anda kelihatan profesional, contohnya, gunakan alamat email seperti “ahmad.salleh@email.com” dan jangan guna alamat email yang tidak formal seperti “cintahati89@email.com”.
4. Fokus Pada Pekerjaan Yang Dipohon
Setiap jawatan mempunyai keperluan yang berbeza, oleh itu isi resume anda perlu disesuaikan mengikut pekerjaan yang anda mohon. Elakkan menggunakan resume yang sama untuk semua permohonan tanpa mengubah suai isi kandungannya.
Sebagai contoh, jika anda memohon kerja dalam bidang IT, utamakan kemahiran yang berkaitan seperti penguasaan microsoft office atau pengalaman dengan teknologi tertentu. Sebaliknya, jika anda memohon kerja dalam bidang pemasaran, fokuskan pada pencapaian anda dalam meningkatkan jualan atau mengurus kempen pemasaran.
Dengan menyesuaikan isi resume anda, majikan akan lebih mudah melihat bagaimana kemahiran dan pengalaman anda boleh menyumbang kepada keperluan syarikat mereka.
5. Format Resume
Anda juga perlu memberi perhatian terhadap reka bentuk dan format resume anda. Sila guna fon yang mudah dibaca seperti Arial atau Times New Roman dengan saiz 12-14 poin. Susunan isi atau kandungan resume anda juga perlu teratur, mudah dibaca, dan yang paling penting adalah boleh dibaca dengan pantas oleh majikan.
Kesalahan Yang Perlu Dielakkan
- Kesalahan Ejaan dan Tatabahasa: Kesalahan ini mencerminkan sikap tidak profesional. Semak resume anda beberapa kali sebelum dihantar.
- Maklumat Tidak Lengkap: Jangan lupa memasukkan butiran penting seperti nama penuh, alamat, dan nombor telefon. Tanpa maklumat ini, majikan tidak dapat menghubungi anda.
- Resume Terlalu Panjang: Resume yang panjang dan berlebihan akan membuatkan majikan hilang minat. Pastikan resume anda padat dan ditulis dengan maksimum dua muka surat.
- Maklumat Palsu: Jangan sekali-kali memasukkan maklumat palsu dalam resume anda. Majikan biasanya akan melakukan semakan latar belakang dan perkara tersebut boleh menyebabkan permohonan anda ditolak.
Contoh Resume Terbaik
Berikut merupakan beberapa contoh resume terbaik untuk memohon pekerjaan:
Contoh resume lepasan SPM dalam Bahasa Melayu
Contoh resume Jurutera dalam Bahasa Inggeris
Contoh resume untuk latihan industri
Contoh resume dalam format infografik
Panduan Tambahan Untuk Resume Anda
- Kenal Pasti Keperluan Majikan
- Sebelum menyediakan resume, fahami kehendak majikan terlebih dahulu. Baca penerangan jawatan kosong dengan teliti untuk mengenal pasti apa yang mereka perlukan.
- Gunakan Kata Kerja yang kuat
- Dalam menyenaraikan pengalaman kerja, gunakan kata kerja aktif seperti “meningkatkan”, “menguruskan”, atau “melaksanakan” untuk menunjukkan tindakan yang anda ambil.
- Simpan Resume Dalam Format PDF
- Untuk memastikan resume anda kelihatan profesional apabila dibuka, sila simpan (save) dokumen tersebut dalam format PDF. Format ini juga mengelakkan risiko perubahan format pada dokumen asal anda.
- Sertakan Surat Iringan (Cover Letter)
- Walaupun resume anda sudah lengkap, namun anda perlu menyertakan surat iringan atau cover letter untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai minat anda terhadap jawatan yang dimohon.
Tips Persiapan Sebelum Temuduga
Anda mestilah membuat persiapan yang rapi sebelum menghadiri temuduga. Contohnya, anda boleh mula dengan membuat kajian tentang syarikat yang menawarkan pekerjaan, termasuk produk, misi, dan visi mereka.
Selain itu, sila pastikan semua dokumen penting seperti resume, sijil, dan rujukan disusun dengan kemas dalam fail. Kemudian, anda juga perlu berlatih menjawab soalan yang mungkin akan ditanya ketika sesi temuduga berlangsung.
Penampilan juga memainkan peranan semasa sesi temuduga, oleh itu berpakaianlah secara profesional dan kemas kemudian datang ke lokasi temuduga sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal untuk menunjukkan anda menghargai dan menepati masa.
Kesimpulan
Resume merupakan salah satu kunci utama untuk meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan pekerjaan atau jawatan impian anda. Dengan menyusun resume yang baik dan profesional, anda boleh meningkatkan peluang untuk dipanggil untuk temuduga.
Anda boleh menggunakan panduan dan contoh yang disediakan dalam artikel ini untuk menghasilkan resume terbaik yang mampu menarik perhatian majikan. Ingat, persediaan yang teliti adalah asas kejayaan dalam pencarian kerja.